Followers

Wednesday 18 January 2012

Perlantikan Dr Yunus kukuhkan Pakatan Selangor

SHAH ALAM, 18 Jan: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan Dr. Ahmad Yunus yang dilantik sebagai Exco menggantikan Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali akan mengukuhkan lagi kesepaduan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Sambil merakamkan ucapan tahniah di atas perlantikan itu, ketuanya Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan juga berkata dewan itu sedia memberi kerjasama kepada Dr. Yunus dalam usaha mempertahankan negeri dari dirampas Umno BN.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merakamkan ucapan tahniah kepada YB Dr. Ahmad Yunus di atas perlantikan ini dan mendoakan semoga beliau akan melaksanakan amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dan seluruh jentera pemuda di semua peringkat akan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Ucapan penghargaan juga dirakam kepada ke bawah DYMM Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana telah memperkenankan perlantikan Dr. Yunusi dari PAS sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang baru.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat bersyukur kerana proses perlantikan berjalan dengan lancar dan penuh muhibbah," katanya.

Dr Ahmad Yunus Hairi, Adun Sijangkang mengangkat sumpah sebagai Exco kerajaan negeri Selangor yang baru bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali pagi tadi.

Majlis Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor diadakan Bilik Singgahsana, Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Ekoran perlantikan itu juga, kerajaan negeri Selangor membuat penyusunan semula portfolio Exconya.

Melalui perubahan tersebut, Dr Yunus akan memegang portfolio Adat Resam Melayu serta portfolio Belia dan Sukan.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim pula akan memegang portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Asas yang dipegang Hasan Ali sebelum ini.

Sebelum ini, Dr Yunus adalah Pembantu Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Sumber Manusia yang Exconya adalah Dr Halimah Ali.

Dr Yunus juga menjaga urusan belia negeri Selangor yang portfolionya dipegang oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri.
 dipetikdari harakah daily

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...